Popular Posts

Sunday, February 27, 2011

KETENTUAN ILAHI

                                                            KETENTUAN  ILAHI

               PADA waktu petang yang nyaman, duduk aku mengimbau kisah laluku yang menyentuh kalbu sehingga aku berlinangan air mata apabila mengenangnya semula. Kisahnya bermula ketika aku masih di tingkatan dua. Pada masa itu, aku hanya mempunyai kawan yang sedikit akibat aku jarang datang ke sekolah  kerana aku malu untuk berdepan dengan warga di sekolah atas sebab dituduh melakukan perkara yang tidak mungkin dilakukan bagi pelajar yang juga memegang jawatan sebagai pengawas. Mulai hari itu, aku sering tidak hadir ke sekolah kerana aku sudah malu untuk menunjukkan mukaku di sekolah. Aku tidak pernah menceritakan hal ini kepada orang lain dan kalau pun orang bertanya padaku. “Kenapa tak datang ke sekolah?”. Aku membalas, “saja. Malas.” Padahal mereka tidak tahu betapa rendahnya maruah diriku apabila mereka bertanya sedemikian. Mereka tidak tahu apa perasaanku, yang mereka tahu hanya menyindir aku dan mengumpat tentang diriku. Sebenarnya apabila mereka berbuat sedemikian hatiku sudah sebak dan malu untuk bertemu dengan orang ramai. Jadi aku hanya membisukan diriku dan hanya senyum dengan setiap persoalan mereka. Apakah mereka tidak memikirkan bagaimana jika perkara itu berlaku ke atas batang hidung mereka sendiri? Itulah manusia, hanya tahu mencari kekhilafan diriku. Adakah mereka fikir mereka insan yang sempurna dan tiada cacat celanya? Tetapi aku sedar aku bukan anak seorang jutawan yang duitnya berjuta-juta ringgit tetapi aku sedar aku hanyalah anak pesawah yang duitnya selalu kering. Tetapi salahkah aku jika aku mahu berkawan dan bersuka ria seperti orang lain? Kerana aku juga manusia biasa bukannya orang bunian mahupun hantu. Setiap kali aku datang ke sekolah pasti aku akan duduk keseorangan dan di bahagian belakang sekali akan menjadi tempat belajarku. Guru-guru juga selalu memerli aku kerana aku menyebabkan nama baik kelas tercemar tetapi aku hanya mendiamkan diri dan tidak pula melawan guruku. Aku tidak mempunyai kawan yang ramai tetapi aku mempunyai seorang kawan yang agak rapat dan aku hanya ingin namakan dia Amin. Setiap kali jika aku ke sekolah pasti aku dan dia bersama bukan sebagai kekasih tetapi sebagai teman. Walaupun kami kurang rapat tetapi aku tahu dia merupakan seorang teman yang baik. Amin memahami perasaanku ketika aku meluahkan perasaanku tentu dia yang akan mendengar dan dia akan memberi kata peransang kepadaku untuk lebih tabah dalam hidupku. Sebelum aku ceritakan lebih lanjut tentang kisahku di tingkatan dua terlebih dahulu aku ingin menceritakan tentang arwah ibuku. Aku tahu betapa peritnya ibuku membesarkan kami 10 orang adik-beradik. Ibuku bangun seawal 4.00 pagi untuk membuat nasi lemak dan kuih-muih malah ibuku sanggup bersenkang mata demi menyara persekolahan kami. Walaupun, ibuku tahu bahawa dia menghidap penyakit darah tinggi dia lansung tidak memikirkan soal kesihatannya dan baginya yang penting kami berjaya. Pernah sekali aku ingin menyentuh dahi ibuku tetapi ibuku melarangku. Ketika ibuku sedang asyik dibuai mimpi aku menyentuh dahinya dan ternyata begitu panas dan hatiku berasa sebak kerana ibuku sanggup menyimpan penderitaannya walaupun ibuku sakit dia masih jua bekerja keras untuk menyara kami sekeluarga. Tetapi apakan daya Allah lebih menyayangi ibuku. Pada usiaku baru 9 tahun ibuku sudah pergi buat selama-lamanya. Pada saat itulah hatiku berkecai, impianku untuk menghadiahkan kejayaan buatnya hancur berderai dan segala harapanku punah. Aku menangis teresak-esak kerana ketika itu aku tidak tahu apa yang sedang berlaku mungkin ada hikmah di sebalik semua ini. Aku masih lagi mahu merasakan belaian dari seorang ibu dan limpahan kasih sayang dari insan yang bergelar ibu. Pada saat itu, insan lain merasa kasih sayang seorang ibu tapi aku hanya mampu melihatnya dan aku hanya memendamkannya dalam diriku. Apabila orang menanyakan perihal ibu, aku pasti terdiam dan tertunduk. Aku tidak tahu setiap kali persoalan tentang ibu timbul pasti aku mudah terasa sebak dan mataku akan berkaca-kaca. Aku kalau boleh teringin sekali berjumpa dengan ibuku dan memeluknya walaupun hanya sekejap cuma kerana aku memang merindui pelukan seorang ibu. Mungkin sesetengah orang masih lagi melawan, menengking, menipu dan sebagainya kepada ibu mereka tetapi mereka tidak memikirkan bagaimana insan yang selalu ditengking, dilawan, ditipu pergi buat selama-lamanya. Adakah mereka dapat mengundurkan masa dan memohon kemaafan? Masih adakah kesempatan buat mereka? Kita perlu ingat tanpa ibu siapalah kita di dunia ini, dapat hidupkah kita di dunia ini tanpa seorang ibu. “Belajarlah dengan rajin-rajin nanti kalau senang semua orang suka, kalau tak ada duit siapa pun tak pandang kita.” Masih terngiang-ngiang kata ibuku kepadaku. Ingatlah ibu merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai kerana anugerah yang diberikan inilah aku dapat mengenal erti seorang ibu. Aku sanggup menukar nyawaku dengan ibu walaupun itu belum cukup aku membalas jasaku terhadap ibuku. Memanglah nyawa tidak boleh ditukar ganti tetapi aku ingin menunjukkan aku mahu ibu hidup semula dan membelai kami sekeluarga walaupun itu hanyalah impian yang tidak akan menjadi kenyataan tetapi aku redha sahaja  menerima ketentuan ini. Dan kini aku ingin menceritakan semula tentang rakanku semasa aku di tingkatan dua. Amin seorang pelajar yang mahir dalam pelbagai bidang mata pelajaran. Amin selalu mengajar aku tetapi aku selalu belajar sambil lewa. Kerja sekolahku banyak tidak disiapkan dan banyak aku ketinggalan dalam pelajaran tetapi aku mengambil langkah lain bagi menyelamatkan masa depanku. Maka aku belajar sendiri di rumah serta bertanya kepada Amin. Tetapi orang yang baik pasti akan pergi dulu. Pada hari itu, aku tidak hadir ke sekolah. Kisah ini berlaku ketika semua umat Islam sedang berpuasa dan seminggu lagi akan menyambut hari raya. Ketika itulah aku digemparkan dengan kisah kematiannya. Aku berasa amat sedih kerana dia seorang sajalah kawan baik yang aku ada tetapi kenapa sedang orang tidak sabar menunggu hari lebaran, aku pula terpaksa meratapi pemergiannya. Sedang orang lain bersuka ria kenapa aku dan keluarga Amin terpaksa menanggung kesedihan ini. Inikah namanya suratan takdir atau dugaan Yang Maha Esa? Ketika inilah aku menadah tangan memohon pertolongan kepada Yang Maha Esa agar di ringankan dugaan ini dan cucurilah rahmat kepada rakan dan ibuku. Aku berasa hidupku tiada berteman,tiada berkawan lagi. Tetapi ketika aku melangkah kakiku ke tingkatan tiga, aku mempunyai kawan yang ramai. Aku bersyukur kepada Yang Maha Esa kerana memberi kurniaan yang ku anggap amat bermakna buat hidupku. Aku tidak berasa malu lagi untuk datang ke sekolah malah lebih bersemangat untuk hadir ke sekolah. Aku tahu bahawa Allah itu Maha Penyayang dan Maha Adil. Rupa-rupanya apa yang berlaku terhadap diriku sebelum ini adalah kegembiraan pada masa sekarang. Aku amat bersyukur dengan-Mu, Ya Allah kerana kini aku boleh menonjolkan diri ini pada warga sekolah. Itulah aku yang memerlukan sebanyak mungkin pengalaman getir untuk menzahirkan kejayaan diriku. Tetapi ketika aku ditimpa dugaan aku lansung tidak memikirkan positifnya malah aku hanya memikirkan negatifnya. Itulah kita sebagai insan kita harus menghadapi pengalaman jika tidak kita tidak akan dapat melakar sebarang pengalaman. Oleh itu, kita harus ingat dan diperingatkan bahawa manusia mudah alpa dalam kehidupan dan masih kurang adab dan kebijaksanaan dalam mengharungi sebuah kehidupan yang diibaratkan kapal layar yang ingin meredah lautan ombak yang bergelora. Maksudnya, kita mesti bersiap sedia dalam menempuh kehidupan yang penuh pancaroba dan ketika itulah kita harus ingat kepada Yang Maha Esa. Berdoalah kita agar hidup kita mudah dan senang bagi menghadapi dugaan yang diberikan. Ingatlah kita bahawa kehidupan merupakan ujian bagi membina mahligai di syurga dan amalan kita sebagai hiasan mahligai dan keredhaan daripada ibu bapa sebagai tiket untuk masuk ke syurga dan doa ibu bapa sebagai jambatan ke sana. Akhir kata, hidup ini bukanlah suatu jalan yang datar dan ditaburi bunga melainkan adakalanya disirami air mata dan darah. Kerana kehidupan juga seperti Gunung Everest bukan mudah ditawan dengan calang-calang orang dan memerlukan persiapan diri yang amat penuh.